YUP

Friday, 29 November 2013

WoW !!! WoW...



PENGENALAN BAJU KURUNG TRADISIONAL


Baju kurung (Jawi: باجو كوروڠ) ialah pakaian tradisional untuk wanita Melayu. Baju Kurung terbahagi kepada dua iaitu Baju Kurung Lelaki dan Baju Kurung Perempuan. Baju Kurung lelaki juga dikenali juga sebagai Baju Melayu. Ia menjadi pakaian rasmi untuk negara Malaysia dan Brunei, juga boleh didapati di Indonesia, Singapura dan Thailand. Terdapat dua jenis baju kurung iaitu Baju Kurung Teluk Belanga dan Baju Kurung Cekak Musang. Baju ini sesuai dipakai oleh semua golongan masyarakat tidak mengira usia. Baju Kurung juga digunakan untuk menghadiri majlis perkahwinan, majlis agama, dan majlis rasmi. Di Malaysia, secara amnya seluruh wanita melayu memakai baju kurung sebagai pakaian tradisi ini termasuk pakaian rasmi pelajar sekolah rendah dan menengah. Cuma reka bentuk dan potongan baju kurung agak berbeza-beza mengikut negeri.Selaras dengan peredaran zaman, kini pelbagai busana rekaan moden telah muncul dan diterima oleh masyarakat Melayu. Sungguhpun pada umumnya kita telah menerima pengaruh moden dalam pakaian harian, namun baju kurung tetap menjadi pilihan kaum wanita untuk digayakan. Bezanya, rekaan baju kurung sekarang lebih kontemporari tetapi masih mengekalkan ciri-ciri keasliannya.Selain terdapat perubahan pada potongan dan bentuknya, untuk menghasilkan rekaan yang lebih moden dan kreatif, baju kurung juga dihiasi dengan sulaman, kerawang, manik mahupun labuci. Material untuk menghasilkan baju kurung juga turut berubah. Kini, terdapat pelbagai pilihan material antaranya satin, organza, chiffon, sutera, batik, linen dan banyak lagi. Perubahan ini dilakukan untuk disesuaikan dengan keadaan semasa atau majlis yang hendak dihadiri selain cuba meniru gaya potongan asing yang mungkin bertujuan untuk kelihatan lebih anggun. Kini terdapat pelbagai variasi baju kurung dan ia dikenali sebagai Baju Kurung Moden.Walaupun baju kurung telah mengalami evolusi selaras dengan perubahan masa dan citarasa pemakai, namun rekaannya masih sama. Ia tetap selesa dan manis dipakai selain menampakkan kesopanan gadis Timur dan keunggulan budaya Melayu.