PENGENALAN BAJU KURUNG TRADISIONAL
Baju kurung (Jawi:
باجو كوروڠ) ialah pakaian tradisional untuk wanita Melayu. Baju Kurung
terbahagi kepada dua iaitu Baju Kurung Lelaki dan Baju Kurung Perempuan.
Baju Kurung lelaki juga dikenali juga sebagai Baju Melayu. Ia menjadi pakaian rasmi untuk negara Malaysia dan Brunei, juga boleh didapati di Indonesia, Singapura dan Thailand.
Terdapat dua jenis baju kurung iaitu Baju Kurung Teluk Belanga dan Baju
Kurung Cekak Musang. Baju ini sesuai dipakai oleh semua golongan
masyarakat tidak mengira usia. Baju Kurung juga digunakan untuk
menghadiri majlis perkahwinan, majlis agama, dan majlis rasmi. Di
Malaysia, secara amnya seluruh wanita melayu memakai baju kurung sebagai
pakaian tradisi ini termasuk pakaian rasmi pelajar sekolah rendah dan
menengah. Cuma reka bentuk dan potongan baju kurung agak berbeza-beza
mengikut negeri.Selaras dengan peredaran zaman, kini pelbagai busana rekaan moden
telah muncul dan diterima oleh masyarakat Melayu. Sungguhpun pada
umumnya kita telah menerima pengaruh moden dalam pakaian harian, namun
baju kurung tetap menjadi pilihan kaum wanita untuk digayakan. Bezanya,
rekaan baju kurung sekarang lebih kontemporari tetapi masih mengekalkan
ciri-ciri keasliannya.Selain terdapat perubahan pada potongan dan bentuknya, untuk
menghasilkan rekaan yang lebih moden dan kreatif, baju kurung juga
dihiasi dengan sulaman, kerawang, manik mahupun labuci. Material untuk
menghasilkan baju kurung juga turut berubah. Kini, terdapat pelbagai
pilihan material antaranya satin, organza, chiffon, sutera, batik, linen
dan banyak lagi. Perubahan ini dilakukan untuk disesuaikan dengan
keadaan semasa atau majlis yang hendak dihadiri selain cuba meniru gaya
potongan asing yang mungkin bertujuan untuk kelihatan lebih anggun. Kini
terdapat pelbagai variasi baju kurung dan ia dikenali sebagai Baju
Kurung Moden.Walaupun baju kurung telah mengalami evolusi selaras dengan perubahan
masa dan citarasa pemakai, namun rekaannya masih sama. Ia tetap selesa
dan manis dipakai selain menampakkan kesopanan gadis Timur dan
keunggulan budaya Melayu.